RUMAH
AMAL UMMUL QURA (RAUQ) ini merupakan sebuah rumah kebajikan yang menempatkan lebih
kurang seramai 70 orang penghuni yang terdiri daripada anak yatim, fakir
miskin, ibu tunggal dan asnaf zakat.
RAUQ juga berusaha mengumpulkan seramai mungkin pelajar sekolah rendah dan
menengah yang berpotensi tetapi menghadapi kekangan kewangan, kekeluargaan dan
perhubungan rakan sebaya. Pelajar sekolah
menengah berumur diantara 13 hingga 17 tahun termasuk lelaki dan perempuan
berjumlah 35 orang murid, manakala pelajar
sekolah rendah lelaki dan perempuan berjumlah 15 orang. Semua anak-anak
penghuni Rumah Amal ini belajar di peringkat sekolah rendah dan menengah di Maahad Tahfiz Yaqutul Fuad yang
beralamat di No 5, Jln Inai 2, Seksyen BB3, Bandar Bukit Beruntung. Selebihnya
adalah anak-anak berusia di bawah 7 tahun seramai 10 orang (lelaki dan
perempuan) yang berada di Tadika dan Pusat Jagaan Ummul Qura.
Maklumat yang diperolehi menunjukkan bahawa terdapat
ramai pelajar yang terlibat dengan gejala ponteng sekolah sehingga pihak polis
terpaksa digunakan untuk menangkap pelajar terbabit. Umum mengetahui bahawa
mereka bukan sekadar ponteng sekolah tetapi mereka terdedah melakukan pelbagai
aktiviti sosial yang merosakkan seperti merokok, menghidu gam, menghisap ganja,
mengguna pil khayal, melepak, meragut, mencuri dan sebagainya. Walaupun ramai
yang terlibat adalah pelajar yang sedia bermasalah di kelas masing-masing
tetapi ramai juga pelajar berpotensi yang terpengaruh dengan mereka. Masyarakat
islam hari ini telah melihat gejala ini sudah semakin menular dan berleluasa.
Sudah ramai ibubapa yang mengadukan keadaan anak-anaknya sudah tidak mampu
dikawal. Maka di atas kesedaran ingin menyelamatkan seramai mungkin kelompok
pelajar sebegini, RAUQ ini ditubuhkan.
Rumah Amal Ummul Qura ini membahagikan pelajar kepada 4
kelompok iaitu berpotensi, baik, sederhana dan perlu dibaiki. Justeru RAUQ
menerima semua kategori pelajar dengan maksud pelajar berkualiti dan berpotensi
dijadikan ketua pelajar atau ketua usrah bagi membimbing mereka yang lemah atau
bermasalah. Hanya pelajar yang bermasalah yang mengganggu atau mempengaruhi
pelajar lain sahaja yang akan diletakkan berasingan.
RASIONAL
Pengurusan kebajikan dan pendidikan terutama kepada anak-anak yatim, miskin dan asnaf zakat merupakan suatu usaha yang amat diperlukan. Dalam masa sama pihak yang mengurus perlu berhati-hati kerana tanggungjawab yang berat ini perlu dilakukan secara ikhlas dimana ianya akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Hanya individu yang mempunyai kesedaran dan keinsafan yang mendalam sahaja yang akan sanggup membantu dan membahu merealisasikan hasrat membina kejayaan masa depan kelompok anak-anak yang sebegini. Dalam keadaan anggota masyarakat yang sudah mulai sedar terhadap tanggung jawab sosial masing-masing dalam membantu golongan sebegini, sumbangan yang diberikan amat dihargai dan disanjung tinggi. Rumah Amal Ummul Qura sentiasa berusaha menghubungi semua pihak yang dikira sudi menjadi pelindung dan pembela golongan ini serta saling bekerjasama membangunkan potensi diri mereka ke arah kejayaan. Allah menganjurkan kerjasama sebegini di dalam Al-Quran yang bermaksud; "Dan hendaklah kamu bertolong bantu ke arah kebaikan dan taqwa serta janganlah kamu bertolong bantu ke arah kejahatan dan permusuhan".
Tiada yang lebih besar kami pohonkan lebih dari doa-doa Tuan/Puan untuk kami yang telah diamanahkan ini moga dengan sokongan padu dari Tuan/Puan agar usaha ini dipermudahkan dan diberkati Tuhan dalam segala urusannya. Segala perhatian, kerjasama, sokongan dan bantuan anda kami dahului dengan terima kasih yang tidak terhingga beserta doa-doa, kerana siapa yang menghiburkan dan menunaikan hajat orang yang memerlukan maka Tuhan pasti tidak mensia-siakannya walau sebesar zahrah.
YANG DIPERLUKAN DALAM MEMBANGUNKAN
RUMAH AMAL UMMULQURA;
1) Menjadikan Rumah Amal Ummul Qura ini sebagai projek angkat mereka.
2) Menganjurkan makan malam amal sebagai usaha mengutip derma dan sumbangan. Majlis Makan Malam Amal ini akan dipenuhi oleh Persembahan Kesenian dan Kebudayaan Islam oleh mana-mana kumpulan nasyid yang ditaja. Kos majlis ini boleh ditampung melalui jualan amal tersebut. Disamping itu persembahan oleh anak-anak penghuni Rumah Amal UmmulQura ini juga boleh dijayakan secara selang seli.
3) Program pengambilan anak angkat di kalangan anak-anak ini oleh individu atau syarikat yang berminat membiayai keperluan makan minum, asrama, pengajian dan sebagainya. Sumbangan amal jariah yang sebegini memberi manfaat dua hala dimana ibubapa angkat diharapkan mendapat ganjaran besar di sisi Tuhan. Di dunia; memperolehi keberkatan dan keselamatan; menerima doa dari anak yang dinaungi setiap lepas solat bahkan setiap kebaikan yang mereka lakukan, insya Allah akan ada ‘habuan’ untuk ‘pembela’ mereka di sisi Tuhan. Di sisi anak-anak sudah tentulah semua pembiayaan tersebut akan amat bererti dan amat mereka syukuri.
4) Program kenduri tahlil aruah dan bacaan Yasin untuk aruah keluarga yang meninggal dunia. Semuanya boleh dilakukan dengan hanya menyumbang sedikit biaya menjayakan kenduri setiap malam Isnin dan Khamis. 50 orang anak-anak akan menadah tangan mendoakan aruah yang diniatkan. Para penyumbang boleh sms atau emailkan nama-nama ahli keluarga yang ingin diniat-hadiahkan pahala tahlil, yasin dan sebagainya itu. Jumlah sumbangan terserah pada budi bicara pihak yang berkeinginan. Kami menerima seadanya.
5) Sumbangan barangan dapur untuk dimasak samada barangan kering atau basah; boleh disumbangkan secara bulanan atau bila-bila masa. Boleh dihantar sendiri atau maklumkan kepada kami untuk kami datang mengambilnya. Kami amat menghargai semua sumbangan yang diberikan dan akan menerima semuanya seadanya.
6) Sumbangan peralatan dapur dan peralatan rumah / barangan eletrik walaupun barangan terpakai. Apa jua yang mungkin tidak lagi diperlukan oleh tuan-tuan dan puan-puan tapi mungkin amat diperlukan di Rumah Amal ini. Jadi sebelum membuangnya, wajarlah bertanyakan kami terlebih dahulu.
7) Sumbangan bayaran sewa rumah, bil-bil, kos minyak dan tol serta perbelanjaan pengurusan.
8) Bagi yang mempunyai rumah atau kenderaan yang mewaqafkannya untuk dimanfaatkan oleh Rumah Amal ini boleh memaklumkannya supaya kami boleh melihat dan membuat keputusan mengenai kesesuaiannya.
PERKHIDMATAN KAMI DI RUMAH AMAL UMMUL QURA
Menyalurkan segala sumbangan yang diterima bukan setakat untuk anak-anak yatim dan fakir miskin yang tinggal di Asrama Rumah Amal Ummul Qura sahaja tetapi turut diberikan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal, miskin dan asnaf zakat yang tinggal bersama keluarga mereka.
Melatih anak-anak di Rumah Amal Ummul Qura untuk menjadi penghibur kepada anak-anak yang senasib dengannya yaitu melalui aktiviti-aktiviti lawatan ke asrama-asrama anak yatim yang lain dan mengadakan persembahan dan program motivasi.
Melatih anak-anak di Rumah Amal Ummul Qura menjadi anak-anak yang berkeyakinan diri yang tinggi, berketerampilan dan penuh motivasi. Aktiviti rehlah, motivasi serta lawatan-lawatan sambil belajar dilakukan dari masa ke semasa.
Menyediakan khidmat kaunseling kepada ibubapa/penjaga/waris yang berhadapan dengan masalah anak-anak remaja.
Menyediakan kelas-kelas pengajian Al-Quran & Tajwid, hafazan Surah, Fardhu Ain, Bahasa Arab dan Jawi secara percuma untuk anak-anak dan remaja yang berminat tetapi tidak berkemampuan untuk mengikuti tuisyen berbayar.
PELAKSANAAN PROGRAM PENDIDIKAN DAN LATIHAN KEMAHIRAN
Memberikan perkhidmatan pendidikan formal dan tidak formal yang berterusan kepada semua anak-anak di bawah jagaan RAUQ agar mereka melalui proses tarbiyah islamiyah berterusan. Pendidikan formal bermaksud pengajian khusus di dalam kelas meliputi mata pelajaran asas Fardu Ain, Kefahaman Islam, Pengajian Al-Quran Dan Hadis, Tafsir Quran, Sejarah Islam, Sejarah Dunia, Pengetahuan Am termasuk Matematik, asas Sains, geografi, lukisan, musik Islami dan sebagainya. Konsep pendidikan di asrama Rumah Amal Ummul Qura menggunakan konsep pendidikan "Home Schooling" iaitu pendekatan sekolah di rumah atau di asrama (dipersetujui oleh semua waris dan penjaga pelajar). Mereka akan mengambil peperiksaan SPM sebagai calon persendirian setelah berusia 17 tahun.
Disamping itu aktiviti latihan kemahiran yang sesuai dengan bakat, kecenderungan dan minat setiap individu pelajar. Pelajar perempuan dilatih dengan kemahiran pengurusan rumahtangga, memasak, mengemas, menghias, kraftangan, menjahit, lanskap, keusahawanan, pengurusan pusat sumber, komputer dan sebagainya. Manakala pelajar lelaki juga diberikan kemahiran asas pertukangan, pembinaan, pertanian, komputer, usahawan, pembuatan produk makanan, kraftangan, pembaikan motorsikal, kemahiran restoren, katering dan sebagainya. Semua latihan dalam bidang kemahiran ini akan dipantau dan ditauliahkan oleh Giat Mara dan juga berpeluang memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia di bawah Kementerian Sumber Malaysia.